senyum itu sedekah

welcome to our wonderful life :)

Wednesday, 7 November 2012

KEPENTINGAN INSTITUSI KEKELUARGAAN :)

PENGENALAN

Apabila isu pembentukan masyarakat Islam dibincangkan, peranan individu Muslim tidak dapat dipinggirkan. Hal ini kerana pembentukan sesuatu masyarakat adalah berasaskan institusi keluarga. Manakala institusi keluarga pula bermula dengan perkahwinan di antara dua individu yang berlainan jantina. Kualiti ilmu yang dimiliki oleh individu yang membentuk keluarga dan seterusnya masyarakat adalah faktor penentu kepada kualiti sesebuah masyarakat. Perhatian yang khusus telah diberikan oleh Islam terhadap pembentukan keluarga bagi mengekalkan generasi manusia. Hal ini kerana, pengabaian pembentukan institusi keluarga akan membawa keruntuhan dan kehancuran sesebuah masyarakat.

Justeru, Allah SWT telah menurunkan undang-undang keluarga Islam sebagai panduan kepada seluruh institusi keluarga. Ia diklasifikasikan oleh fukaha di dalam kitab-kitab fikah sebagai Munakahat yang bermaksud nikah-kahwin. Institusi keluarga dapat memelihara akhlak, tata susila dan kemuliaan manusia melalui ikatan perkahwinan. Di samping itu, ia mempunyai peranan yang amat penting dalam pembentukan individu kerana peribadi yang baik akan membentuk keluarga yang baik, daripada keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik dan seterusnya tertegak sebuah negara yang cemerlang di bawah keredhaan Allah SWT. Segala ilmu ini perlu dipelajari oleh setiap individu Muslim sebelum mendirikan sebuah rumah tangga. Ini amat penting sebagai satu permulaan untuk melahirkan insan yang kamil dalam sesebuah masyarakat itu sendiri.




KONSEP KEKELUARGAAN MELAYU-ISLAM

Perkahwinan

Perkahwinan merupakan ikatan antara dua individu; lelaki dengan perempuan melalui akad nikad dan ijab kabul. Semasa proses pencarian jodoh, kebiasaannya seseorang akan memilih pasangannya berdasarkan empat ciri iaitu berharta, berketurunan baik, cantik dan beriman. Namun, Rasulullah SAW menyarankan agar umatnya memberikan keutamaan kepada faktor yang keempat, iaitu beriman. Dalam konteks ini, keutamaan diberikan kepada calon yang beriman kerana menurut baginda hanya keimanan dapat menjamin keharmonian institusi keluarga dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Undang-undang keluarga Islam juga turut memberikan garis panduan tentang pasangan yang boleh dikahwini dan golongan yang haram dikahwini. Golongan yang haram dikahwini hukumnya terbahagi kepada dua, iaitu haram abadi dan haram sementara. Haram abadi ada tiga kategori iaitu:
• Mereka yang ada pertalian darah seperti ayah, ibu dan anak.
• Pertalian kekeluargaan seperti anak tiri, mertua dan menantu.
• Pertalian penyusuan seperti ibu susu dan saudara sesusu.

Manakala hukum haram sementara pula ialah ipar, iaitu apabila pasangan meninggal, maka perkahwinan antara suami dan ipar atau isteri dengan ipar dibolehkan; perempuan bukan Islam apabila dia memeluk Islam perkahwinan dibolehkan; dan perempuan dalam iddah apabila tamat tempohnya, maka dibolehkan berkahwin.
Terdapat beberapa kategori dalam hukum berkahwin. Fukaha menetapkan hukum berkahwin ini bedasarkan kepada keadaan individu. Menurut Mazhab Syafii, hukum nikah terbahagi kepada lima iaitu:
• Pertama, harus: bagi seseorang yang ingin melakukan seks.
• Kedua, sunat berkahwin: sekiranya dia ingin menjaga kesuciannya, cukup syarat dan berkemampuan dari segi zahir dan batin.
• Ketiga, wajib: bagi yang berkemampuan dari segi zahir dan batin, serta nafsu syahwatnya begitu tinggi hingga boleh mendorong kepada penzinaan. Bagi yang tidak berkemapuan dari segi perbelanjaan perkahwinan, Islam menyarankan agar dia berpuasa.
• Keempat, haram berkahwin: orang yang tidak mencukupi syarat. Tidak berkemampuan zahir dan batin serta tidak bertanggungjawab kerana dibimbangi akan merosakkan rumah tangga serta masa depan isteri dan anak-anak.
• Kelima, makruh: orang yang tidak berhajat kepada seks, ahli ibadat, orang yang benci kepada perkahwinan dan seumpamanya.

Perkahwinan bertujuan untuk memperoleh zuriat dan mengekalkan baka, memelihara kehormatan diri, mencapai ketengan hati, ketengan jiwa dan sebagai cara untuk menyalurkan naluri cinta dan kasih sayang. Ia merupakan jalan penyelesaian kepada naluri tabii atau fitrah semula jadi manusia, iaitu hubungan seks antara lelaki dan wanita yang dijadikan oleh Allah SWT.

Keluarga

Prinsip yang meletakkan keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat begitu dihayati oleh tamadun-tamadun tradisional. Keluarga yang dimaksudkan pada lazimnya adalah keluarga extended. Dalam sesebuah keluarga wujud hierarki kuasa yang menentukan kedudukan kaum lelaki dan kaum perempuan. Pengalaman seperti ini telah menjadi warisan turun temurun dalam sesebuah keluarga tradisional. Menurut Konfusianisme, kesetiaan dan pertalian yang erat merupakan konsep kekeluargaan yang paling penting. Pengabaian terhadap konsep kekeluargaan seperti ini merupakan penafian hak seseorang dan bertentangan dengan keadilan. Konsep kekeluargaan Islam pula begitu mementingkan kasih sayang dan hormat-menghormati. Berdasarkan hakikat tersebut, bukanlah persoalan kedudukan wanita kaum wanita dan kaum lelaki dalam sesebuah keluarga itu menjadi persoalan utama, tetapi setiap mereka harus menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam lingkungan kasih sayang dan saling hormat-menghormati.


HAK DAN TANGGUNGJAWAB DALAM INSTITUSI KELUARGA

Hak Dan Tanggungjawab Suami Isteri

Dalam institusi keluarga Islam, suami dan isteri memiliki hak ke atas satu sama lain lantaran tanggungjawab yang dipikul sama ada bagi pihak suami, isteri atau tanggungjawab bersama: suami dan isteri. Dalam konteks ini, isteri memiliki hak untuk memperolehi nafkah zahir dan batin daripada suami, memperoleh pakaian dan tempat tinggal yang sesuai daripada suami, memperolehi jaminan keselamatan dan kebajikan daripada suami, dan memperolehi nasihat yang baik daripada suami.

Suami pula bertanggungjawab melindungi rahsia kecacatan atau kekurangan isteri setelah tanggungjawab sebagai seorang isteri dilaksanakan dengan baik seperti melayani keperluan batin suami, mentaati suami, ketaatan dan kesetiaan isteri kepada suami selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Isteri bertanggungjawab merahsiakan kecacatan atau kekurangan suami kepada orang lain dan menjaga kehormatan dan harta suami ketika ketiadaannya.

Seorang suami bertanggungjawab sebagai pemimpin dan ketua dalam institusi keluarga. Apabila dia melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami, dia berhak menerima layanan yang munasabah dan kasih sayang, termasuk zahir dan batin daripada isteri; isteri menjaga maruah dan akhlak sama ada berada di hadapan ataupun di belakang suami; dan meminta keizinan suami sebelum keluar rumah.

Hak dan tanggungjawab bersama suami isteri ialah suami dan isteri sama-sama berhak untuk menikmati kemanisan, kenikmatan da kebahagiaan hidup berumah tangga; suami dan isteri bersama-sama bertanggungjawab mengeratkan hubungan silaturrahim dengan keluarga kedua-dua belah pihak; harta kedua-duanya boleh diwarisi oleh salah seorang daripada keduanya apabial berlaku kematian; mendalami ilmu fardu ain bersama; berbincang tentang kebaikan bersama; bantu membantu dalam hal kebajikan dan meninggalkan kemungkaran; bersikap jujur dan menepati janji; saling memaafkan jika berlaku kesilapan dan saling menasihati; digalakkan bersembahyang berjemaah; dan bertawakal kepada Allah SWT setelah berusaha untuk mencapai kebahagian hidup.


PENUTUP

Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang maju adalah bangsa yang berilmu. Kemajuan tidak mungkin akan dicapai tanpa pencapaian ilmu yang tinggi. Untuk tujuan ini ibu bapa perlu memastikan bahawa perasaan cinta terhadap ilmu ini perlu dipupuk seawal mungkin. Bermula dari rumah tangga, ibu bapa perlu menyediakan suasana yang kondusif yang boleh menggalakkan minat anak-anak kepada pertumbuhan ilmu. Dalam hal ini ilmu tanpa nilai moral boleh menyebabkan manusia akan hilang pertimbangan kemanusiaan. Generasi hari ini perlu diberi pendedahan tentang kepentingan sejarah terhadap masa depan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan sejarah di sini bukanlah sekadar mengingati tarikh bila sesuatu peristiwa itu berlaku tetapi yang penting ialah mempelajari kesilapan yang telah dilakukan agar kesilapan itu tidak diulangi. 


Sejarah juga telah membuktikan bahawa walau semaju mana sesebuah tamadun itu, kegagalan untuk belajar dari sejarah boleh meruntuhkan ketamadunan yang telah dicapai. Justeru institusi keluarga hari ini yang mewariskan generasi muda perlu sentiasa diberi peringatan agar mereka tidak leka dengan kesenangan yang telah dicapai. Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa meningkatkan keupayaan diri sebagai persediaan menghadapi cabaran hidup yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya penggunaan undang-undang semata-mata tidak mampu membendung gejala negatif. Hal ini disebabkan secara lumrah manusia yang melanggar undang-undang beranggapan mereka boleh mengelakkan dari ditangkap oleh pihak berkuasa.

Sebagai asasnya, ibu bapa sebagai pendidik perlulah menggembleng sepenuh tenaganya dan cuba sentiasa memfokuskan perhatian terhadap melaksanakan segala perintah yang diturunkan Allah SWT. Keyakinan beragama perlulah dipupuk sehingga menjadi darah daging dalam kehidupan. Sudah pasti anak akan membesar di atas dasar iman dan taqwa dan akan bertapak padanya akhlak dan budi pekerti yang mulia. Perlulah diingatkan bahawa sebagai ibu atau bapa kita terlebih dahulu perlu memiliki akhlak yang mulia. Dengan akhlak yang dapat dicontohi, ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak. Namun sekiranya ibu bapa sendiri yang ketandusan akhlak mulia seperti pengasih, penyayang, bersopan santun, berbudi pekerti mulia bagaimana untuk mereka ‘mengeksport’ kemuliaan itu kepada orang lain khususnya kepada anak-anak.

Tamadun yang telah dibina oleh manusia sepatutnya mengambil kira fitrah yang Allah anugerahkan ke dalam diri setiap manusia.. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah tanam-tanaman dengan subur di bumi yang dimakan oleh manusia dan binatang, dengan sebab air itu; hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias dengan bunga-bungaan yang berwarna warni dan penduduknya menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman dan menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari, lalu Kami jadikan dia hancur lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelumnya itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir.”




No comments:

Post a Comment